Wednesday, July 25, 2012

Puasa perisai maksiat





Terdapat banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tangan-Nya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata kerana-Ku. Ibadat puasa itu adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan 10 kali ganda. (riwayat al-Bukhari ).

Ada ulama menyebut puasa itu sebagai benteng atau penahan bagi orang yang berpuasa daripada segala nafsu syahwat yang merosakkan puasanya. Apabila seseorang itu berpuasa, ia dapat mengekang nafsu yang buruk bagi dialihkan perhatian kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebajikan dan pahala.

Orang yang berpuasa akan membina benteng daripada melakukan dosa dan maksiat. Di dalam hadis ini disebut secara jelas larangan mencela dan bercakap kotor. Secara lebih umum, larangan ini merangkumi segala perbuatan buruk sesuai dengan falsafah ibadat puasa untuk menghalang seseorang daripada perlakuan negatif.

Puasa bukan setakat tidak makan dan tidak minum bahkan anggota zahir dan batin turut berpuasa. Anggota badan seperti mata mesti dijaga daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan syarak. Mulut dan lidah pula hendaklah dikawal agar tidak memperkatakan perkara-perkara cela dan keji, begitu juga telinga, kaki, kemaluan dan seluruh anggota lain.

Seseorang yang berbohong atau berkata keji akan terhapus pahala puasanya, seperti hadis nabi yang bermaksud, “sesiapa yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata bohong, dan selalu beramal dengannya (berbohong), maka tiada dinilai oleh Allah akan puasanya”.


Puasa juga adalah perisai yang terhasil melalui sifat sabar. Dalam hadis ini, nabi mengajar orang yang berpuasa agar bersabar apabila ada cubaan untuk mencela dan mengejeknya. Ini untuk mengelakkan daripada perbuatan yang lebih buruk jika tiada sifat sabar kerana berkemungkinan akan berlakunya pergeseran, pergaduhan dan perbalahan sesama muslim.

Sesungguhnya berlapar itu sendiri adalah latihan dan tarbiah Allah kepada manusia agar sentiasa bersabar menangkis serangan-serangan yang boleh menghilangkan pahala puasanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...