Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatkan bahawa
ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada
mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia,
menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang
dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam
bersabda;
إن عظم الجزاء مع
عظم البلاء ، وإن
الله تعالى إذا أحب
قوما ابتلاهم ، فمن
رضي فله الرضا ،
ومن سخط فله السخط
Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya
bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum,
maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha –
dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa
yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani
menyatakannya sebagai Hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji
keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan
keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun
bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya.
Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.
Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi
dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat
dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa
Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh
Allah kepadanya.
Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar
dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala
yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa
orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan
diganjari dengan syurga;
أم حسبتم أن تدخلوا
الجنة ولما يأتكم مثل
الذين خلوا من قبلكم
مستهم البأساء والضراء وزلزلوا
حتى يقول الرسول والذين
آمنوا معه متى نصر
الله ألا إن نصر
الله قريب
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,
padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]

No comments:
Post a Comment