Nasihat Imam Ghazali
Berikut adalah antara nasihat Imam Ghazali dalam kitab 'Mau'izahatul
Mukminin':
1. "Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian
orang di hadapanmu, atau pun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan
muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu timbul dari hakikat
batinnya."
2. "Jangan sekali-kali mengadukan segala
hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain, sebab
dikhuatiri bahawa Allah SWT akan murka lalu diserahkan semua urusan itu kepada
orang itu."
3. "Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama
terhadapmu bila berada di belakangmu sebagaimana yang anda kenal kepadanya
di masa berdepan denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak
betul."
4. "Jangan menentang orang lain sehingga terjadi
permusuhan di antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu
kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu, maka ketika
itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya."
5. "Jangan menilai seseorang menurut keadaan
dunianya lalu anda memuliakannya, sebab dunia itu kecil sekali disisi Allah SWT.
Jangan sampai anda menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan
sehingga anda dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin suatu masa
kelak anda tidak akan diberi lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga
diri di matanya."
6. "Jika anda mendengar bahawa orang itu pernah
mencelamu atau membuat sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baik anda
serahkan perkara itu kepada Allah SWT serta anda berlindung dengan Allah
SWT daripada bahaya-bahayanya. Ingatlah, jangan cuba memikirkan sesuatu rancang
balas terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan lebih
membahayakan diri anda."
7. "Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada
sesiapapun sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati, kerana bersikap
demikian akan membinasakan anda. Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin
sekali orang itu lebih baik nasibnya dari anda di belakang hari. Sekalipun
orang itu pada lahirnya fasik dan jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam
itu akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaan
fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan
soleh."
No comments:
Post a Comment