1. PENDAHULUAN
Firman Allah Taala : Yang Bermaksud : "Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan
untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran)
bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum : 21)
2. ASAS KELUARGA
Hidup berkeluarga adalah kehendak semulajadi manusia, setiap
orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang ideal (sesuai) dengannya
bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga. Pembinaan sesebuah keluarga
bermula dari perkahwinan. Oleh itu di dalam mencari pasangan hidup keutamaan
hendaklah berpandu kepada garis yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,
sebagaimana sabdanya : Ertinya : "Dikahwini perempuan itu kerana empat
perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana
agamanya. Utamakanlah yang berugama nescaya kamu jadi tenteram."
3. TUJUAN PERKAHWINAN
Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamat yang besar ia
adalah sunnah nabi Muhammad SAW, di dalam Islam perkahwinan adalah ibadat,
tidak sama dengan fahaman dan pegangan ugama-ugama lain seperti kristian, budha
dan lain-lain yang mana para pembesar ugamanya tidak berkahwin kerana mereka
percaya berkahwin bukan ibadat. Sedangkan berkahwin mempunyai tujuan yang murni
indah diantaranya ialah :
1. Menghindarkan dari berlaku maksiat zina sebagaimana sabda
Rasulullah SAW :Ertinya : "Golongan belia sekelian barangsiapa diantara
kamu berkuasa (berkemampuan) menyediakan nafkah zahir batin maka hendaklah kamu
berkahwin, maka sesungguhnya perkahwinan itu dapat memejamkan mata (mengelak
dari melakukan maksiat) dan memelihara kehormatan dan mereka yang tidak
berkuasa maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya dengan berpuasa itu
adalah menjadi perisai baginya."
2. Menuruti fitrah melahirkan zuriat keturunan anak adam
sesuai dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
3. Menyempurnakan tuntutan kelamin (seks) mengikut hukum
Islam.
4. Mengelak dari penyakit yang berpunca dari hubungan jenis
yang tidak seimbang (seperti siflis, aids, dan lain-lain)
5. Membentuk sebuah kehidupan berkeluarga yang aman damai.
6. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
4. KEBAIKAN DARI PERKAHWINAN
Perkahwinan merupakan tali perhubungan di antara lelaki dan
perempuan, tali yang dapat mempereratkan kasih sayang, cinta abadi, melahirkan
perasaan bertimbang rasa dan bertanggungjawab serta dapat membina sebuah
mahligai rumah tangga yang aman damai dan bahagia. Perkahwinan juga dapat
menghindarkan daripada perbuatan jahat dan curang serta membenteras dan
menghapuskan segala nafsu kehaiwanan dan persundalan penjenayah zina
disenaraikan sebagai penceroboh yang amat keji dan merbahaya yang mana amalan
perzinaan boleh membawa kepada keruntuhan moral dan budi pekerti dan akhirnya
boleh menjahanamkan kehidupan masyarakat yang bermaruah. Ugama Islam telah
mendisiplinkan umatnya dengan budi pekerti yang luhur, menghalang dari
kerosakkan moral terus bermaharajalela dengan penyakit zina yang mana melalui
penyakit itu boleh melahirkan satu generasi yang biadap dan tidak bermoral. Ini
adalah merupakan kesan negatif dari anak-anak yang dilahirkan dari proses zina.
Kerana mereka tidak mendapat pengawasan dan pengawalan yang sewajar dari kedua
ibu bapanya, tidak mendapt asuhan dan didikan yang sempurna seperti anak-anak
lain yang mempunyai ibu bapa yang bertanggungjawab. Akhirnya hidup mereka
terbiar tanpa teguran dan ajaran, bagaikan telah dibunuh hati nurani mereka,
hidup di dalam keadaan frust dan melarat tanpa pembelaan dari mana-mana pihak.
Di dalam erti kata yang lain bahawa anak-anak dilahirkan secara haram boleh
menimbulkan beraneka bentuk masalah yang sukar diatasi dan menjadi beban yang
berat di dalam masyarakat.
5. HUKUM KAHWIN
Berkahwin hukumnya mengikut keadaan seseorang itu :
Wajib : Jika seseorang itu mempunyai nafsu syahwat yang
memuncak yang mana sekiranya tidak berkahwin akan menjerumuskannya ke lembah
maksiat zina.
Sunat : Jika seseorang itu mampu tetapi masih dapat
menjaga dan mengawal dirinya dari melakukan maksiat zina.
Makruh : Jika seseorang itu mempunyai keinginan tetapi
tidak mampu dari segi kewangan. Oleh hal yang demikianlah maka Rasulullah SAW
menganjurkan kepada golongan ini supaya berpuasa.
Haram : Jika seseorang itu tidak mempunyai keinginan
nafsu tetapi berkahwin dengan tujuan tidak jujur yakni mempunyai tujuan jahat
terhadap bakal isterinya.
6. PERSEDIAAN SEBELUM KAHWIN
Seseorang yang hendak kahwin hendaklah terlebih dulu
mengetahui tentang tugas dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri , bapa
atau ibu. Perkara yang paling penting kepada seseorang lelaki yang hendak
berkahwin ialah mampu menanggung nafkah bakal isterinya, nafkah zahir dan batin
termasuk juga di dalam golongan nafkah iaitu tempat kediaman yang sesuai dan
pakaian. Suami isteri juga hendaklah mengetahui hukum-hukum yang berkaitan
dengan perkahwinan seperti nikah, cerai, rujuk, iddah dan sebagainya.
7. CARA MEMILIH JODOH
Di awal tulisan ini saya ada menyebut tentang garis panduan
tentang pemilihan mencari jodoh sebagaimana yang diutarakan oleh baginda
Rasulullah SAW iaitu keutamaan ialah perempuan yang berugama. Walaupun di dalam
hadis tersebut Rasulullah SAW ada menerangkan bahawa seseorang itu akan memilih
jodoh kerana hartanya dan ada pula kerana keturunannya. Dan ada juga yang
memilih kerana kecantikannya dan tidak kurang pula yang memilih kerana
ugamanya, tetapi Rasulullah memberi penekanan kepada yang berugama, kerana yang
mempunyai pegangan ugama yang kukuh menjamin kebahagiaan yang sejati. Wanita
yang mempunyai sifat-sifat lain tetapi tidak mempunyai ugama tidak menjamin
kebahagiaan yang berkekalan bahkan banyak akan menimbulkan kesulitan.
8. KEWAJIPAN SUAMI TERHADAP ISTERI
Suami adalah payung kepada sebuah keluarga, dialah juga
nakhoda kepada sebuah bahtera rumahtangga, oleh itu suami mestilah mengetahui
serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isterinya. Di antara tanggungjawab
ialah:
>Bergaul dengan cara yang baik serta memimpin dan memberi
perlindungan terhadap isteri dan keluarganya.
>Melahir dan memberi kasih sayang yang sejati serta tidak
menyakiti isteri.
>Menghormati dan menjaga rahsia dan keaifan isteri serta
menjauhkan perasaan cemburu yang membabi buta.
>Berlaku adil dalam memberi nafkah dan menolong isteri di
dalam kesempitan dan kesusahan.
>Membantu isteri di dalam tugas-tugas menjaga dan
mengasuh anak. Sabar di atas kelemahan isteri.
>Memberi kebebasan berfikir kepada isteri.
>Memberi nasihat kepada isteri sekiranya ia melakukan
kesalahan dan bertindaklah mengikut hukum syarak sekiranya nasihat itu tidak
diendahkan.
>Memberi bimbingan dan pengajaran ugama dan
membenarkannya mendapat pengajaran ugama sekiranya ia tidak mampu memberi
pengajaran ugama.
>Berlaku adil di antara isteri-isterinya bagi yang
berpoligami.
>Bijaksana ketika timbul perselisihan dengan isteri dan
hendaklah suami mengendalikannya dengan penuh cermat dan ajaran-ajaran yang
baik serta menahan diri jangan terlalu ikut perasaan hati.
9. KEWAJIPAN ISTERI TERHADAP SUAMI
Isteri ialah orang terpenting bagi pembantu dan menolong
tugas-tugas dan peranan suami dan ada kalanya isteri terpaksa mengambil alih
tugas suami ketika ketiadaannya. Di antara tugas dan tanggungjawabnya ialah :
>Hormat dan taat kepada suami.
>Membantu suami di dalam mengurus rumah tangga dan
mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna.
>Bermanis muka ketika berhadapan dengan suami.
>Menghargai pemberian suami walaupun sedikit.
>Berjimat cermat di dalam perbelanjaan serta sederhana
dalam penghidupan.
>Menjaga rahsia suami dan rumahtangga.
>Menjaga keaifan dan maruah suami. Memelihara dan menjaga
keaifan diri sendiri.
>Mengurus dan mengatur rumahtangga serta memelihara
hubungan kekeluargaan.
>Bersabar di dalam menghadapi masalah-masalah yang timbul
di dalam kehidupan berumahtangga.
>Mengadakan hubungan-hubungan keluar hendaklah dengan
persetujuan dan izin suami.
10. KEWAJIPAN BERSAMA
Suami isteri adalah bertanggungjawab di dalam mengendalikan
urusan rumahtangga, oleh itu mereka berdua mempunyai kewajipan bersama diantara
kewajipannya ialah :
>Kedua belah pihak hendaklah saling hormat-menghormati
dan tolong-menolong.
>Saling percaya dan mempercayai diantara satu sama lain.
>Mengelakkan dari melahirkan rahsia masing-masing dan
juga keaifan yang mungkin timbul dari mana-mana pihak walau di waktu berlaku
salah faham dan perbalahan. Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan luar,
halusi dan periksa dengan teliti terlebih dahulu.
>Jauhi dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada
salah faham.
>Rela berkorban untuk kebahagian rumah tangga. Kedua
belah pihak hendaklah bersabar di atas kelemahan dan kekurangan yang timbul
sama ada dari pihak suami ataupun isteri. Hendaklah berbincang dan membuat
perundingan di dalam sesuatu masalah.
>Sama-sama bertanggungjawab memimpin dan mendidik anak.
Kedua belah pihak hendaklah sanggup menerima teguran dan nasihat dari pihak
yang lain dan begitu juga hendaklah sama-sama memberi nasihat dan teguran demi
kebaikan bersama. Di dalam penentuan hak tanggungjawab bersama yang mesti disempurnakan
oleh suami isteri adalah merupakan asas yang teguh yang dapat menjadi
keharmonian rumahtangga, Rasulullah SAW bersabda pada "Hujjatul
Wida'" Ertinya : "Jaga ! Sesungguhnya kamu ada mempunyai hak ke atas
isteri kamu dan demikian pula isteri-isteri kamu kamu terhadap kamu sendiri."
.
Selain dari itu Islam telah menentukan kelebihan lelaki di
atas perempuan kerana beberapa faktor yang tertentu seperti maksud firman Allah
SWT : "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang bersama seperti kewajipan
yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya. Dalam
pada itu orang-orang lelaki (suami) mempunyai satu darjah kelebihan atas
orang-orang perempuan (isteri) yakni sebagaimana seorang isteri menanggung
kewajipan terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik maka si
suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan
cara yang baik." Dan firmanNya lagi : "Orang-orang lelaki itu adalah
pemimpin dan pengawal kepada tanggungjawab di atas perempuan-perempuan (isteri)
disebabkan Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ke atas orang-orang
perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki itu memberi nafkah (kepada
isterinya)."
11. PERGAULAN YANG BAIK
Perkara yang amat penting di dalam membina kebahagian
rumahtangga ialah cara pergaulan yang baik, letakkan segala harapan di atas
kerukunan rumahtangga, Rasulullah SAW telah memberi kita banyak panduan tentang
pergaulan di dalam kehidupan berumahtangga baginda tidak pernah bermasam muka
dengan isteri-isteri baginda. Baginda sendiri yang menjahit kasut baginda
manakala terkoyak. Di dalam soal kebaikan ini Rasulullah SAW pernah bersabda :
Ertinya : "Sebaik-baik kamu bagi ahlinya dan aku sebaik-baik bagi ahliku."
Di dalam pergaulan harian di antara suami isteri mungkin ada ketika tergeser
sekali sekala. Maka soal mengatasinya hendaklah berpandukan kepada hukum Islam.
Di dalam hubungan ini Allah SWT. berfirman : Ertinya : "Dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (Nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka
dari tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka
(dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar) kemudian jika mereka taat
kepada kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka,
sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." Para isteri wajib menjaga
maruah dirinya samada di hadapan suami atau semasa ketiadaannya dan juga menjaga
maruah dan kemuliaan suaminya. Bergaullah dengan suami dengan penuh kasih
sayang, turutilah segala perintah dan kehendaknya selama mana perintahnya tidak
bercanggah dengan hukum syarak. Di dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda :
Ertinya : "Sekiranya aku diperintah akan seseorang supaya menyembah
seseorang yang lain nescaya aku menyuruh perempuan menyembah akan suaminya."
Isteri adalah ratu rumahtangga bagi suami, dialah tempat untuk melepaskan
kerisauan oleh itu jagalah keperibadian sebagai seorang isteri yang solehah.
Rasulullah SAW bersabda : Ertinya : "Sebaik-baik wanita ialah isteri yang
apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau
menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya
dia menjaga harta engkau dan mengjaga maruah dirinya."
12. TANGGUNGJAWAB & KEWAJIPAN IBU BAPA TERHADAP
ANAK-ANAK
Anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan terhadap
dua ibu bapa supaya mengasuh, mendidik dan memberi pengajaran yang sempurna, di
antara tanggungjawabnya ialah :
>Membantu keperibadian anak bermula dari cara memilih
isteri sebagai bakal ibu kepada anak-anaknya dari perempuan yang solehah,
perempuan yang berugama.
>Semasa mengadakan hubungan jenis dengan isteri hendaklah
sentiasa memohon perlindungan dari Allah supaya benih yang akan dilahirkan
mendapat hidayat dan taufik Allah dengan didahului doa sepertimana yang diajar
oleh Rasulullah SAW : Ertinya : "Ya Allah jauhkanlah kami akan syaitan dan
jauhilah syaitan ke atas apa (anak) kurniaan Engkau kepada kami."
>Azan dan Iqamah semasa anak mula lahir dari kandungan
ibu.
>Menyusu dengan susuan ibunya sendiri.
>Mengadakan aqiqah, bercukur dan memberi nama yang elok
pada hari ketujuh.
>Berkhatan sama ada anak lelaki dan perempuan.
>Memberi didikan dan asuhan yang sempurna.
>Memberi pelajaran dunia dan akhirat.
>Memperjodohkan apabila layak dan sesuai.
>Selalulah berunding, berbincang serta memberi nasihat
yang berguna tanpa paksaan yang melulu. Rasulullah SAW bersabda : Ertinya :
"Muliakanlah olehmu anak-anak kamu dan perelokkan tingkah-laku mereka."
13. KESIMPULANNYA
Keluarga yang bahagia adalah keluarga yang dibina di atas
asas yang paling teguh dan betul mengikut Islam serta yang dapat memenuhi
ciri-ciri dan kehendak syariat Islam. Dengan terlaksananya aturan tersebut
InsyaAllah segala cita-cita untuk membina sebuah istana keluarga akan mendapat
kejayaan di samping mendapat rahmat dan nikmat dari Allah SWT. Semua pihak akan
dapat menikmati kebahagian dan kerukunan rumahtangga. Sesuai dengan firman
Allah SWT : Ertinya : "Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra
dengannya dan dijadikan diantara kamu (suami isteri)) perasaan kasih sayang dan
belas kasihan."
(Dipetik dan disusun oleh :Haji Othman Haji Ahmad Pegawai
Dakwah Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan)

No comments:
Post a Comment