Tuesday, September 11, 2012

Kisah Nabi Sulaiman Dengan Pemuda Berbakti kepada Ibu Bapanya






Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal. Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.

Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni oraang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.

Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.

Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.

Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.

Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan saylah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.

Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.

Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu susana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.

Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.

Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut  dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya. Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.




Kisah Lelaki Ahli Syurga




Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pada suatu ketika kami duduk bersama Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam, tiba-tiba beliau bersabda: 

“Sekarang akan muncul seorang lelaki ahli syurga menjenguk kalian.” Tiba-tiba muncullah seorang lelaki Ansar  Pada esok harinya dalam kesempatan yang sama. Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam pun berkata seperti itu juga, lantas muncullah orang lelaki yang sama seperti semalam. Pada hari ketiga, Nabi pun berkata demikian juga, lalu muncul lelaki hari pertama tersebut juga. Apabila Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam beredar, ‘Abdullah Amar pun mengekori lelaki tersebut. 

Beliau mengatakan kepadanya: “Saya telah bergaduh dengan bapa saya dan saya bersumpah tidak mahu bersamanya selama tiga hari. Kalau  saudara sudi menumpangkan diri saya dalam tempoh itu nescaya saya akan turut saudara pulang.” “Baiklah, saya sudi, “jawab lelaki itu. Anas radiyAllahu‘anhu meriwayatkan bahawa Abdullah menceritakan yang beliau tinggal bersama lelaki tersebut selama tiga malam tetapi tidak pernah melihatnya bangun sembahyang malam.

Cuma apa yang diihatnya ialah apabila lelaki tersebut bertukar kedudukan di tempat tidurnya, ia sentiasa menyebut nama Allah Subhanahu Wata’ala dan bertakbir, sehinggalah akhirnya ia bangun menunaikan Solat Fajar. Abdullah menambah: “Aku tidak pernah mendengar lelaki tersebut berkata kecuali dengan perkataan yang baik sahaja.”

“Apabila berselang tiga malam maka aku pun hampir-hampir meremehkan amalannya, kata Abdullah. Selepas itu aku pun berkata kepadanya: “Wahai hamba Allah, sebenarnya antara aku dan bapaku tidak ada apa-apa sengketa dan pergaduhan. Cuma aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam menyebut perihal dirimu sebanyak tiga kali. Beiau berkata:

 “Sekarang tampil menjengol seorang ahli syurga “. Tiap-tiap kali orang yang muncul itu ialah saudara. Lantaran itulah saya ingin menumpang di rumah saudara untuk melihat apakah amalan saudara supaya dapat saya contohi. Tapi saya tidak nampak saudara melakukan apa-apa amal yang besar” 

“Apakah yang menyebabkan saudara mencapai martabat seperti yang diungkapkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam itu. Jawab lelaki itu: “Tidak ada apa-apa yang saya lakukan selain dari apa yang telah saudara lihat. Kata Abdullah, “Ketika saya berpaling dan beredar lelaki tersebut memanggil saya dan berkata lagi: 

“Tidak ada apa-apa yang saya lakukan, kecuali, apa yang telah saudara lihat. Cuma saya tidak pernah menyimpan dalam hati saya hasrat menipu orang lslam yang lain atau rasa dengki terhadap sesiapa, lantaran
inilah yang telah meningkatkan martabat saya.”

(Hadith: riwayat Ahmad dengan Sanad perawi, mengikut Bukhari, Muslim dan Nasai’e).




Monday, September 10, 2012

MAKANAN DARI HASIL TILIK




Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian daripada pendapatan hariannya kepadanya sebagai tuan. Pada suatu hari hambanya telah membawa makanan yang dimakannya sedikit oleh Abu Bakar. Hambanya berkata, "Kamu selalu bertanya tentang sumber makanan yang aku bawa, tetapi hari ini kamu tidak berbuat demikian ?" 

Abu Bakar menjawab, "Aku terlalu lapar sehingga aku lupa bertanya. Terangkanlah kepada aku di mana kamu mendapat makanan ini ?" Hamba menjawab, "Sebelum aku memeluk Islam, aku menjadi tukang tilik. Orang-orang yang aku tilik nasibnya kadang-kadang tidak boleh membayar wang kepadaku. Mereka berjanji membayarnya apabila sahaja memperolehi. Aku berjumpa dengan mereka hari ini. Merekalah yang memberikan aku makanan ini."

Mendengar kata-kata hambanya, Abu Bakar memekik, "Ah! Nyaris-nyaris kau bunuh aku." Kemudian dia cuba mengeluarkan makanan yang telah ditelannya. Ada orang yang mencadangkan supaya dia mengisi perutnya dengan air dan kemudian memuntahkan makanan yang ditelannya tadi. Cadangan ini diterima dan dilaksanakannya sehingga makanan itu dimuntahkan keluar. Kata seorang pemerhati, "Semoga Allah s.w.t.mencucuri rahmat ke atasmu. Kamu telah bersusah-payah kerana makanan yang sedikit."

"Aku sudah pasti memaksanya keluar walaupun dengan berbuat demikian aku mungkin kehilangan jiwaku sendiri. Aku mendengar Nabi Muhammad s.a.w. berkata, "Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram akan merasai api neraka. Oleh kerana itulah maka aku memaksa makanan itu keluar takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku."




Kisah Jangan Terkena Cahaya Matahari & Jangan Memberi Hutang




Terdapat seorang lelaki kaya yang berada dalam keadaan sakit tenat. Doktor mengatakan bahawa hidupnya sudah tidak lama dan akan meninggal dunia. Maka, dia telah mewasiatkan perusahaan kepada dua orang anaknya, iaitu Wahid dan Wahab. Dengan harapan agar anaknya akan menguruskan perniagaan yang diwariskan.

Lelaki kaya itu memaklumkan kepada anaknya bahawa setiap seorang daripada mereka akan mendapat perniagaan yang perlu diusahakan. Dia berpesan agar anaknya menguruskan perniagaan itu dengan sebaik-baiknya. Selain itu, dia juga sempat berpesan kepada anaknya untuk mematuhi dua syarat dalam perniagaan jika mahu berjaya sepertinya. Syarat pertama, jangan keluar bekerja apabila matahari telah tinggi, dan syarat kedua pula, jangan mengutip hutang yang diberi pada pelanggan.

Tidak lama selepas itu lelaki kaya tersebut meninggal dunia. Jadi, mereka dua beradik telah menggantikan tempat ayah mereka dalam urusan perniagaan yang telah diwariskan. Sementara ibunya pula telah pulang ke kampung halaman dan membiarkan anak-anaknya meneruskan perniagaan seperti yang telah diwasiatkan.
Selepas dua tahun, si ibu telah kembali ke kota dan melawat rumah anak sulungnya, iaitu Wahid. Lalu bertanya tentang perusahaan yang telah mereka uruskan selepas kematian ayahnya.

Wahid menjawab dan memaklumkan kepada ibunya bahawa perusahaan itu sudah jatuh muflis. Ibunya membalas dan bertanya sebab perusahaan itu muflis. Wahid mengatakan bahawa syarat yang dipesan kepada mereka telah dipatuhi. Dia tidak pernah keluar bekerja apabila waktu tengahari. Kerana dia tidak boleh memandu kereta, dia hanya tahu membawa motorsikal sahaja. Maka, dia terpaksa menaiki teksi ke pejabat setiap hari sehingga menyebabkan banyak wang pernigaan dihabiskan untuk membayar tambang teksi.

Wahid juga mengikuti pesan ayahnya yang kedua iaitu tidak memungut hutang pelanggan. Jadi, wang perusahaan telah habis dibelanjakan dan dia sendiri tidak pernah memungut hutang dari pelanggan. Perkara ini telah menyebabkan wang perniagaan habis. Ibunya mengeleng kepala sambil berlalu pergi.

Pada keesokan hari, si ibu telah pergi ke rumah Wahab pula. Setelah bertemu, si ibu bertanya keadaan perniagaan yang diuruskannya. Si ibu juga memaklumkan bahawa perniagaan Wahid telah jatuh muflis. Wahid dengan senang hati mengatakan bahawa perniagaan yang diusahakannya semakin maju. Dia juga telah mendapat keuntungan lima kali ganda daripada harta yang telah diwariskan arwah ayahnya dahulu. Lalu si ibu bertanya apakah rahsia kejayaannya sehingga mencapai tahap itu.

Wahab menjawab dengan mengatakan bahawa dia mengikuti pesan ayahnya sebelum meninggal. Dia tidak pernah terkena sinar matahari kerana dia keluar rumah sebelum matahari terbit lagi. Dia hanya akan pulang ke rumah selepas matahari terbenam. Maka, dia tidak pernah terkena sinar matahari. Pesanan ayahnya yang kedua juga dipatuhi, dia tidak pernah meminta hutang kerana dia tidak memberikan pelanggan berhutang dengannya. Kerana itu dia tidak pernah mengutip hutang dan ianya sama seperti pesanan si ayah. Si ibu tersenyum puas dengan kejayaan anaknya itu.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...